Firman Allah : “Dan berilah peringatan, kerana peringatan itu amat bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”
Persahabatan Jejaka dan Wanita (“Kalaulah dia menjadi pendamping dalam hidupku”)
Sahabat
mempunyai kedudukan yang begitu khusus dalam hati seseorang. Apa
masalahnya apabila seseorang itu bersahabat dengan lawan jenisnya?
Bolehkah kita bersahabat dengan jejaka atau sebaliknya.
Apabila
berlaku persahabatan antara lelaki dan wanita sesungguhnya tidak akan
ada jaminan hubungan ini benar-benar tulus dan murni.
Sekurang-kurangnya, pasti ada harapan dan rasa memiliki. Tidak kira pada
si jejaka atau wanita atau kedua-duanya sekali.Mesti ada kemungkinan
walaupun pada kadar yang sedikit.
Hubungan
seumpama ini mempunyai batas atau dinding yang teramat nipis. Terlalu
sukar dan rumit untuk membezakan adakah hubungan ini benar-benar sekadar
persahabatan atau sudah mula menjurus kepada saling mencintai yang
mengharapkan wujudnya hubungan hati dan fizikal. Suatu yang amat sukar
dihindari untuk suka yang lebih dari sekadar sahabat.
Maka
mulalah si jejaka atau wanita itu mengangan-angankan “Kalaulah dia
menjadi pendamping dalam hidupku”. Ketika itu sesungguhnya “tazyin
syaitan” telah berjaya memainkan peranannya. Bisikan indah dari musuh
utama dan pertama (syaitan) telah merempuh masuk ke dalam hati yang
telah sedia ada dalam keadaan lemah dan longgar pertahanannya.
Berhentikan Proses Seterusnya!!! (Saling rindu-merindui...)
Oleh
itu, para muslimin dan muslimat yang dihormati, jika perkenalan kita
sudah berubah menjadi simpati segeralah disusuli dengan pernikahan jika
mahu proses persahabatan berlanjutan. Inilah persahabatan yang ideal.
Manakala persahabatan di luar akad pernikahan bukanlah persahabatan ala
sahabat (Rasullulah SAW).
Sebagaimana
yang terjadi antara Ali dan Fatimah. Setelah pernikahan antara Ali dan
Fatimah, maka Fatimah pun berterus terang kepada Ali. “Wahai Ali,
sebelum aku bernikah dengan engkau di kota Mekah ini, ada seorang pemuda
yang menjadi idola di hatiku. Aku sangat inginkan kelak ia menjadi
suamiku. Tapi semua itu aku simpan di dalam hatiku”, Kata Fatimah.
“Kalau begitu engkau menyesal menikahi aku?”, tanya Ali. “Tidak kerana
pemuda itu adalah engkau”, Jawab Fatimah.
Oleh
itu, di dalam Islam kita dibenarkan menilai dan menyukai pemuda yang
soleh namun ia tidak diluahkan dan memadai disimpan di dalam hati.
Sesungguhnya cinta itu boleh “menghinggapi sesiapa sahaja” termasuk
orang yang beriman atau para pendakwah. Apabila batas-batas pergaulan
dan percampuran antara lelaki dan perempuan dilanggar, proses
persahabatan sebegini akan terus bergulir dan tak mungkin dihindari.
Oleh itu tidak mustahil jika para pendakwah lelaki dan perempuan juga
turut terjebak untuk saling rindu-merindui....
Sudah terlanjur digosipkan...
Pengendalian
diri ketika percampuran antara lelaki dan perempuan adalah sesuatu yang
abstrak. Kita tidak mampu mengukurnya. Hanya Allah sahaja yang Maha
Mengetahui. Adakalanya, kita berjauhan dari segi fizikal tetapi hati
“berdegup” hebat. Ada juga yang fizikalnya berdekatan tetapi hatinya
biasa sahaja. Namun ini bukan bermakna kita dibolehkan untuk bergaul
bebas.
Bagaimana
pula jika sudah terlanjur digosipkan, daripada fitnah, baik nikah
sahaja. Inilah salah satu kesilapan besar. Ia bukanlah keputusan bijak.
Tindakan yang diambil dengan menikahi rakan tersebut akan membenarkan
sangkaan dan tohmahan orang selama ini. Tindakan sewajarnya yang mesti
diambil adalah segera hentikan hubungan tersebut. Jauhilah fitnah dengan
mengendalikan hati, namun ketika hati tak terkendalikan jagalah jarak
fizikal. Hindarilah perkara-perkara yang mengundang fitnah seperti
memberikan hadiah, sering berdua-duaan, sering telefon dan seumpamanya.
(zaman teknologi kini, melalui SMS)
Jangan Terperangkap
Hati
manusia memang mudah berubah. Pagi kata benci petang pula kata rindu.
Sesungguhnya hati merupakan penjana yang paling penting. Ia merupakan
kunci segala-galanya. Hati mestilah dikendalikan dengan sebaik-baiknya.
Manakala pandangan pula titik langkah awal yang amat perlu diawasi
kerana dari ‘mata jatuh ke hati’.
Sebagaimana
yang berlaku pada Ibnu Abbas, ketika menunaikan haji tergoda melihat
seorang wanita, maka spontan Nabi SAW menegur dan memalingkan
pandangannya dari wanita tersebut. Lalu bersabda : “Jangan kau ikuti
pandangan itu dengan pandangan yang lain.”
Ketika
inilah peranan iman yang kuat serta aktiviti “tazkiyatun nafs”
(penyuciaan jiwa) perlu dimainkan. Di saat iman sedang merudum,
sebaik-baiknya, minimakanlah aktiviti yang melibatkan lawan jenis.
Walaupun dalam aktiviti keislaman, yang perlu dijaga adalah diri dan
keimanan bukan sekadar jarak sehingga tidak berkomunikasi. Ingatlah,
jangan sekali-kali ketika mengibarkan bendera kegiatan Islam dalam masa
yang sama menjatuhkan Islam.
Sesungguhnya
Allah itu Maha Mengetahui kelemahan insan. Lalu Dia telah mengingatkan
orang-orang yang beriman serta umat Islam seluruhnya agar menjaga
pandangan dengan firman Nya: “Katakanlah kepada orang-orang beriman
lelaki, supaya mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatannya.
Itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa
yang mereka usahakan. Katakanlah kepada orang-orang beriman perempuan,
supaya mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatannya dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang biasa
lahir daripadanya...”
[QS. An-Nuur: 31-32]
Mencegah
itu lebih baik daripada mengubati. Jagalah batas-batas pergaulan agar
tidak terlanjur memendam rasa. Berusahalah membataskan komunikasi dengan
urusan-urusan yang penting, jangan sekali mencari alasan dan agenda
untuk bertemu. Jangan sekali membuat agenda baru agar dapat berinteraksi
kembali. Sesungguhnya jika ini tidak dapat dikawal ia merupakan
permulaan tidak berdisiplinnya kita dalam mengamalkan Islam.
sekadar ingin bekongsi (^_^)
No comments:
Post a Comment